Monday, May 21, 2012

Aku tak nak jadi andartu ~ 11

"Hah, apanya yang kamu nak cakapkan?" Pakcik Hamidi memandang batang tubuh muda di depannya. Tengah hari tadi anaknya itu tiba-tiba muncul. Memang sudah dalam jangkaannya anaknya itu pulang membawa hajat, cuma hajat apa dia tidak dapat menebak. Wajah sugul anaknya merisaukan hati tua Makcik Leha. Masalah apa agaknya dibawa pulang oleh anaknya itu.


Syafiq membetulkan duduk dan berdehem beberapa kali sebelum membuka mulut. Sebaik hajatnya dilepaskan, Syafiq menyungging senyum di bibir melihat bukaan mulut mak dan ayahnya. 'Drastik sangat ke aku ni sampai ternganga mak ayah aku ni aku buatkan?' Tawa kecil yan meletus dari bibir Syafiq segera membawa Makcik Leha dan Pakcik Hamidi ke alam nyata.


"Eh budak bertuah ni. Terkekek kau gelak kenapa? Betul ke kau dah fikir semasak-masaknya ni?" Makcik Leha bertanya serius. Hal nikah kahwin ni bukan boleh dibuat main! Tambah lagi Eda tunangan anaknya itu merupakan anak pinaknya juga jika diikutkan. Dia tidak mahu mengeruhkan keadaan sekiranya berlaku sesuatu diluar persetujuan pihak yang disebelah sana.


Pakcik Hamidi diam, cuba mencerna perihal yang sang anak bangkitkan. Kahwin? Tempoh sebulan? 'Angau tahap apa anak aku ni?' tergeleng-geleng kepala Pakcik Hamidi. Baru dua minggu berlalu majlis pertunangan ringkas anaknya itu. Itupun dilakukan tergesa-gesa tanpa sebarang majlis. Sekarang tiba-tiba pula menyuarakan hasrat ingin menikah secepat mungkin. 


Bersetujukah bakal besannya nanti? Anak perempuan dah lah sorang tu aje, takkan diorang tak rancang nak buat majlis besar-besaran untuk si Eda tu? Pusing kepalanya memikirkan kerenah anak nan seorang ni.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Syafiq mencari-cari wajah Farizatul Farida disebalik langsir yang memisahkan ruang tamu dan ruang tengah rumah bakal mertuanya. Tidak betah rasanya bila sekalipun Eda tidak membalas messagenya. Telefon lagilah tak berangkat. 'Kemanalah kau menghilang Eda?' Tidak dinafikannya, semenjak mengenali tunangnya itu, hatinya berdetik ingin setia.


Setiakah dia sehingga Eda sempat menyaksikan Aalia membelainya tengah hari itu? Kusut fikirannya bila Aalia tiba-tiba menggesanya untuk berjumpa. Terpaksa dia menurut langkah si model untuk menjaga air mukanya di depan staf-staf lain. Tak terfikir langsung Eda turut berada disana. 'KL bukan besar mana pun sampai tak boleh terserempak.' bisik hatinya. Keluhan berat dilepaskan kerana wajah yang di cari seolah-olah memang tidak akan muncul dari ruangan itu.


Sebal hati aku tak hilang lagi, dah dia muncul pulak kat rumah ni. Semak betul, tah apa pulak hajat yang dibawa mereka kali ini. Eda memandang kosong cincin dijari. Memang dia berhasrat memulangkan cincin itu tetapi tidak tahu bagaimana cara hendak dinyatakan kepada orang tuanya. Sudahnya dia membiarkan cincin itu terletak di jari manisnya kembali.


Siapa perempuan bersama Syafiq haritu? Hati ini terasa bengkak setiap kali mengenang gaya manja perempuan itu membelai-belai tunangnya. 'Hish! Apa kena aku ni? Takkan secepat kilat dah tangkap cintan dengan mamat tu kot?'


Arahan ibunya untuk menghidang air kepada tamu tidak diendahnya, sudahnya terkial-kial ibunya menguruskan tamu seorang diri. 'Maafkan Eda mak.' Bukan niat mahu menderhaka, tapi lebih elok kalau tak buat dari buat tak ikhlas. Cewah, pandai pulak hati ni berkata-kata.


Tak sampai 5 minit tetamu mereka pulang, emaknya dah menyungging di depan pintu biliknya. Eda buat muka bodoh sementelah emaknya buat muka sepuluh sen. Keadaan bilik diperhatikan seolah mencari sesuatu yang disembunyikan. 


"Eh lah mak ni, cari apa pandang sampai macam tu?" Eda mula tidak senang dengan sikap emaknya. Moodnya mati semenjak terdengar suara yang cuba dielak sejak seminggu lalu. Suara yang membuat hatinya dipalu rindu. 'Rindukah aku?' Cepat-cepat ditepis rasa yang kian mengisi ruang hatinya itu.


"Kau tau tak kenapa keluarga si Syafiq tu datang tadi?" Emak ni, main psiko pulak dengan aku. Entah-entah si Syafiq tu nak batalkan pertunangan kami tak? Tapi kenapa pulak hati ni rasa tak sedap kalau betul perkara tu terjadi. Ish, tak faham betul dengan diri sendiri. Sesak esofagus aku ni nak bernafas.


Eda diam, melamun memikirkan kemungkinan-kemungkinan keluarga Syafiq memunculkan diri di rumah keluarganya petang itu. Ah, kalau dia nak batalkan pun aku boleh buat apa? Takkan nak paksa dia kahwin dengan aku? Kerja gila namanya tu! Wajah Eda yang tunduk menekur lantai diperhatikan oleh Mak Anum .


"Diorang nak cepatkan majlis pernikahan kau orang berdua. Kalau boleh hujung bulan ni." Terkedu Eda mendengar ujaran emaknya. 'Mak ai! Betul ke aku dengar ni?' Peningnya kepala aku! Bukan patutnya aku nak putus tunang ke? Kenapa pulak nak nikah cepat-cepat ni? Tak masuk akal betul!


Entah bila emak keluar dari bilik aku, aku sendiri tak sedar. Aku cuma balik ke alam realiti setelah telefon aku berbunyi tanda mesej masuk. 


Saya minta maaf. Saya tak sanggup hilang awak, jadi saya minta kita percepatkan pernikahan kita.


Mesej dari Syafiq aku cerlung, seolah dia yang berada dalam genggaman aku bukannya telefon burukku ini. Benci sungguh aku pada dia. Sudahlah senang-senang hati bercengkerama dengan perempuan lain dibelakang aku, sekarang suka-suka hati pulak tetapkan tarikh nikah tanpa berbincang dengan aku dulu?


Eda menahan sebak tatkala teringatkan aksi manja wanita yang dilihatnya bersama Syafiq tempoh hari. Seolah tayangan gambar, senario itu bermain diruang matanya tanpa sebarang sarikata.


Eh! Cop! Haritu, perempuan tu yang sibuk-sibuk peluk tunang aku dan lagi pulak tunang aku tu mukanya cemberut walaupun perempuan tu tersenyum-senyum miang. Apa maksudnya? 


Rajuknya sudah masuk ke minggu kedua dan dia sendiri hampir sasau memikirkan punca rajuknya dan segala hal yang terjadi sehinggalah tarikh pernikahan mereka ditetapkan. Bagi Eda tiada istilah mempercepatkan kerana sedari hari mereka bertunang kedua-dua pihak tidak menetapkan sebarang tarikh bagi pernikahan mereka.


Telefon bimbit yang berdering nyaring dipandang lama. Sudah beratus-ratus panggilan dari Syafiq tidak dijawabnya, tapi Syafiq tidak jemu terus mendail nombornya. Walaupun sekampung, Syafiq tidak pula datang ke rumah untuk berjumpa dengannya. Kenapa Syafiq bersikap begitu, tidak pula teringin dia mengambil tahu.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Petang ini dia akan bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur, namun tiada lagi tanda-tanda Eda mahu berbaik dengannya. Mengikit perkiraan hari, hanya tinggal tiga minggu sahaja tarikh pernikahan mereka. Segala persiapan telah mula disediakan oleh emaknya dan dia juga tahu Mak Anum juga sama. Cuma permasalahannya sekarang, dia tidak mahu Eda terus bermasam muka dengannya. Hatinya tidak betah.


'Jatuh cintakah aku?' Untuk kesekian kalinya hati bertanya. Dia sendiri keliru tentang rasa itu. Indah namun menyesakkan dada, sempit pernafasannya setiap kali memikirkan kemungkinan kehilangan Eda. Sekali lagi nombor Eda didailnya, menunggu panggilan dijawab seolah telah menjadi rutin hariannya kini.


"Assalamualaikum." Tersentak dari lamunan apabila mendengar ucapan salam tanda panggilannya dijawab. Berbunga hatinya walaupun belum sempat berkata apa. Syafiq berdehem menutupi rasa gugupnya.


"Waalaikumsalam. Awak sihat?" Entah bagaimana harus dimulakan perbualan, semuanya hilang bila suara Eda menyapa halwa telinganya sebentar tadi. Walhal telah dihafalnya ayat untuk memujuk wanita itu sejak seminggu lalu.

1 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.