Thursday, May 19, 2011

Terima kasih, sahabat

"Woah!! Best betul cuaca hari ni. Lepak pantai nak tak?" Shahira cuba mengambil hati teman yang kelihatan monyok sedari tadi. Habis semua pakaian di dalam loker disumbatnya ke dalam beg, walhal cuti semester lagi beberapa minggu. Senyuman pahit terukir di wajah Hasni.

“Malas la Sha… Aku rasa macam nak hujan je ni. Panas semacam kat luar tu. Kau pulak tiba-tiba nak melepak kat pantai tu kenapa?” Hasni sengaja menguji niat sahabatnya itu. Dia seakan dapat merasakan ada pakatan di antara sahabat baiknya dengan buah hatinya. Semestinya sang kekasih memohon bantuan Shahira untuk memujuk Hasni berjumpa dengnnya di pantai petang itu. ‘Eleh, ingat aku tak tau propa korang?

“Err… Aku nak dating.”  Terbeliak mata Hasni mendengarkan perkataan “dating” terkeluar dari mulut Shahira. Bukannya apa, tetapi sahabatnya itu cukup dikenalinya luar dan dalam. Tak pernah pula Shahira memberitahu dia sudah berjumpa si jantung hatinya. Shahira sengih memandang Hasni yang kelihatan tercengang.

“Kau nak date dengan siapa ni? Jangan tipu aku la…” Hasni kembali tarik muka menutup malu kerana kelihatan tercengang. Shahira menjuihkan bibir.

“Kau ingat kau sorang je ke tau nak ada buah hati? Aku pun ada la… Temankan aku petang ni ye?” Shahira masih lagi tidak berputus asa memujuk sang sahabat. ‘Ei… Nasib la kau ni kawan aku, kalau tak, memang tak la aku nak pujuk-pujuk bagai’ Shahira menggerutu di dalam hati.

Hasni mengangguk. Seperti kebiasaan, mereka hanya akan keluar selepas menunaikan kewajipan kepada Allah. Selesai solat Asar, keduanya melangkah keluar dari pada kawasan Kolej Redang menuju ke pintu gerbang UiTM Dungun di mana terbentang luas lautan ciptaan Tuhan.

“Mananya boyfriend kau? Cakap nak dating?” Hasni tidak dapat menahan sabar untuk bertemu lelaki yang telah berjaya mencuri hati sahabatnya itu. Shahira masih terus berjalan. Hasni mula berasa tidak senang hati dengan lagak Shahira itu. ‘Aku dah agak dah, mesti ada pakatan ni… Ish!’ hati hasni mula memberontak.

Setelah jauh berjalan sehingga ke penghujung pantai, Hasni dapat merasakan dadanya semakin berdebar. Dari kejauhan dia dapat melihat kelibat Zaharul yang duduk menunduk memandang ke lantai bumi. Kaki Hasni bagaikan terpaku untuk terus melangkah. Shahira yang menyedari kekakuan Hasni cuba memujuk.

“Aku dah cakap aku tak nak jumpa dia Sha.” Pendek kata-kata Hasni namun tegas. Zaharul yang dapat melihat adegan drama pujuk-memujuk antara dua sahabat itu cuba menenangkan Hasni yang kelihatan tegang.

“Sayang, you  janganlah marah Sha. It’s my plan to bring you here. I minta tolong dia, I minta maaf ok?” Bait-bait kata dari mulut Zaharul tidak dapat menyejukkan hati Hasni yang sedang panas. Perlahan Hasni meminta Zaharul supaya hilang dari pandangan matanya. Ternyata Zaharul degil dan tetap cuba memujuk yang akhirnya menyebabkan Hasni menempik menyuruh Zaharul segera pulang.

Baik Zaharul dan juga Shahira gamam dengan tindakan Hasni. Zaharul menyerahkan bungkusan aiskrim yang dibelinya kepada Shahira. Shahira menyambut lemah pemberian Zaharul. Sebaik Zaharul pergi air mata Hasni mula merembes. Dia sendiri tidak faham dengan hatinya. ‘Kenapa aku sensitif sangat?’

Hasni menangis sepuasnya petang itu. Sementelah Shahira bertemu dengan Ikram, Hasni menjauh sedikit agar tidak mengganggu perbualan mereka. Ternyata Ikram berjaya melembutkan hati Shahira yang keras itu. Betapa terharunya Hasni dengan pemberian Zaharul. Begitu sekali kasihnya Zaharul pada dirinya sehinggakan sanggup pergi mencari kehendak hatinya yang memang sukar diperolehi di kawasan kediaman mereka.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Adat pasangan bercinta, sekejap baik sekejap bergaduh. Zaharul dan Hasni kembali rapat seperti biasa. Hasni gemar menyakat Zaharul, padanya Zaharul merupakan teman terbaik tempat mencurahkan rasa dan berkongsi. Bukan dia tidak menghargai Shahira, tetapi dia merasa segan menceritakan peribadinya kepada Shahira. Lagikan pula masa senggangnya banyak dihabiskan bersama Zaharul.

Setelah sekian lama menyulam kasih, Hasni berasa bimbang akan kehilangan Zaharul. Begitu indah detik yang dilaluinye bersama Zaharul sehingga kiranya mungkin dia menghentikan saat itu, pasti dia akan melakukan demikian. Sehinggalah suatu masa kekasih lama Zaharul seakan cuba menggoda Zaharul kembali.

Hati wanita mana yang tidak resah melihatkan keadaan ini. Segala cerita Zaharul disimpan kemas di dalam hati. Terlalu banyak kenangan Zaharul bersama bekas kekasihnya diceritakan membuatkan Hasni sedar dia perlu berhati-hati agar wanita itu tidak merebut Zaharul darinya. Hasni mula menjauh dari rakan-rakan yang lain.

Semuanya kerana Hasni ingin menghabiskan setiap masanya bersama Zaharul agar tiada ruang untuk wanita lain mencelah dalam hidup Zaharul. Tetapi ada yang harus mereka korbankan untuk kekal bersama. Tidak semuanya indah, ternyata ada antara rakan-rakan yang kurang menyenangi kebahagiaan mereka.

Entah bagaimana suatu hari Zaharul menyatakan ketidak puasan hatinya kepada Hasni. Zaharul merasakan dirinya terlalu banyak beralah dengan Hasni sehinggalah Hasni tidak tahu menjaga hatinya. Bingung Hasni memikirkan kata-kata Zaharul. Tidak tercerna dek akalnya.

Biarpun begitu, Hasni tetap berlembut dan cuba mempertahankan hubungan yang terbina antara mereka. Namun ternyata Zaharul tidak pandai menghargai kasih yang diberikan Namun ternyata Zaharul tidak pandai menghargai kasih yang diberi oleh Hasni untuk dirinya. Setelah sekian lama memendam rasa, Hasni akhirnya berani menghadapi dunia dengan kenyataan kini Zaharul tidak lagi menginginkannya.

Walaupun pahit untuk ditelan, Hasni redha dengan ketentuan-Nya. Dia yakin akan ada yang lebih baik menanti dirinya. Hasni membawa diri mengikut haluannya dan Zaharul juga mengikut haluannya. Semua janji yang pernah dilafazkan suatu ketika dahulu kini tidak lagi bermakna. Hasni bertuah kerana walaupun dia pernah melupakan rakan-rakannya, ternyata mereka tidak pernah lupa akan dirinya.

Hasni benar-benar kesal kerana pernah mengabaikan rakan-rakanya suatu ketika dahulu. Kini saat dia cuba bangkit, merekalah sahabat yang menemaninya menopang kakinya agar tidak jatuh tersungkur. Semakin hari semakin Hasni sedar, Shahira banyak membantunya dalam dia sedar mahupun tidak.

Masa-masa kecewanya dengan sikap Zaharul diisi dengan pelbagai aktiviti yang menyibukkan dirinya.  Shahiralah yang mengatur aktiviti untuk mereka lakukan di waktu senggang sehingga Hasni seakan terlupa dengan aktiviti waktu senggangnya suatu masa dulu. Betapa Hasni berterima kasih kepada rakan-rakan disekelilingnya yang tidak putus-putus menyokongnya dan memberikan semangat untuk dia kembali bangkit mengejar cita asalnya sewaktu menjejakkan kaki ke universiti yang terletak di Pantai Timur itu dahulu.

Terima kasih, sahabat.

2 comments:

NFA said...

gud cerpen after all.
create sendiri ehhh? huhu.

Hani Yuhani said...

tenkiu cik fafaz,yup...kisah sebenar ni..diadaptasi semula ke dalam bentuk ceren suaya sesuai untuk bacaan umum..ngeh..:p