Tuesday, June 28, 2011

Aku tak nak jadi andartu ~ 10

“Nombor yang anda dail berada diluar kawasan.” Peti suara telefon sekali lagi menjawab panggilan Syafiq. Puas dia meronda-ronda di kawasan Kuala Lumpur berharap dapat berjumpa dengan tunangnya tapi ternyata hampa. Panggilannya sentiasa masuk ke peti suara. Fikirannya buntu untuk mencari Eda lagi. Siling biliknya ditenung lama seolah ada lakaran-lakaran wajah di situ.


Terlayar di kaca matanya bagaikan sebuah filem semenjak usianya 5 tahun. Sewaktu dia mula mengenal erti hidup, dia mula mengenali tunangannya kini. Tidak pernah terjangka olehnya pada waktu itu gadis selekeh yang sering diejek dan dibuli dia dan kawan-kawannya bakal menjadi surinya suatu hari nanti. Seketika kemudian terlayar pula perkenalannya dengan Alia Shaqib, model dari Malaysia yang menjadi rebutan pereka antarabangsa.


Wanita itu sungguh elegan dan gayanya sangat menyerlah dari segi pemakaian mahupun sosial hidupnya. Pendek kata semua ciri wanita moden yang diingini oleh seorang lelaki zaman moden ini ada pada Alia. Tapi itu juga menjadi penyebab Alia sering menolak lamarannya, Alia senantiasa tidak bersedia untuk menamatkan kehidupan sosialnya. Masih juga tidak bersedia untuk menjadi miliknya seorang.


Kepala Syafiq semakin pusing memikirkan penyelesaian masalahnya. Dia mula menyayangi Eda, jika tidak mengapa hatinya dipagut resah memikirkan gadis itu punya kekasih hati? Tapi mungkinkah dia masih menyayangi Alia? Jika bukan sayang apakah maknanya rasa sakit melihat air mata di tubir mata gadis itu tadi? Akhirnya Syafiq terlelap keletihan setelah seharian bergelut memikirkan masalah peribadinya.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Cincin di jari manisnya dicabut perlahan dan diletakkan di atas meja, lama dia merenung cincin itu. ‘Apakah sebenarnya yang terjadi pada Syafiq? Mungkinkah dia terpaksa menerima aku sebagai tunangnya? Siapakah perempuan yang dilihatnya tengah hari tadi bersama Syafiq?’ Kusut fikirannya memikirkan persoalan yang tidak putus-putus menerjah akalnya semenjak tengah hari tadi.


Pada perkiraannya Syafiq bercinta dengan gadis itu tapi mungkin tidak diterima oleh orang tuanya membuatkan hajatnya tidak kesampaian dan untuk itu Syafiq hanya menerima keputusan orang tuanya untuk menjodohkan mereka. Hatinya pedih mengenangkan kesimpulan cerita yang diberikan oleh akalnya. Dia tidak yakin untuk meneruskan hubungan mereka andai itulah yang terjadi.


Cincin diletakkan didalam bekas, Eda nekad untuk memulangkan semula cincin itu. Cuma caranya sahaja belum difikirkannya, samada mengikut adat iaitu meminta orang tuanya di kampung untuk memulangkannya ataupun dia sendiri berjumpa dengan Syafiq dan memulangkan cincin itu. Matanya yang berat meminta simpati untuk diberikan rehat. Sementelah itu Eda menghempaskan dirinya di atas katil.


Biarlah esok menjadi rahsia untuk dirinya, dia malas mahu menduga apa yang akan terjadi lagi. Letih dirinya untuk memikirkan kemungkinan apa lagi untuk dirinya di hari esok. Tiada yang pasti melainkan mati, kata itulah yang dipegangnya sekian lama. Dalam gelisah hati, Eda memaksa otaknya untuk berehat dan ketika itulah dia tertidur tidak menyedari sekeliling lagi.


Deringan telefon di dinihari itu mengejutkan Syafiq, terkebil-kebil matanya mengandah siling bilik. Serasa baru sekejap benar dia melelapkan mata dan kini bermula pula hari yang baru. Bingkas dia bangun menunaikan solat fardu baginya. Usai bersolat dia mula mengayuh basikal, itulah rutin hariannya.

Otaknya terasa lebih cerdas setelah melakukan sedikit senaman ringan sebelum memerap di dalam bilik pejabat mengerah otak mencari sesuatu yang kreatif dan unik untuk dipersembahkan kepada klien setiap hari. Telefon bimbitnya dikerling dari jauh, seakan terlupa pula tentang masalah yang melanda dirinya semalam. Bagai ditarik magnet kakinya segera melangkah ke arah telefon itu.

Punat-punat nombor telefon Eda ditekannya, mengharapkan akan ada balasan dari talian itu. Syafiq mengeluh, sesal kerana tidak menjelaskan duduk perkara sebenar kepada Eda semalam. Pastinya sekarang Eda berfikir yang bukan-bukan mengenai dirinya. ‘Apa khabar Alia?’ Terdetik soalan itu dihatinya. Segera pula dia menepis bisikan itu. Tidak mahu lagi dia terlibat dengan Alia, baginya kisah mereka telah berkubur semenjak hari lamarannya ditolak Alia.

Setelah bersiap ala kadar, Eda melangkah menuju ke spa. Kotak cincin dimasukkan ke dalam beg tangannya. Sebelum hatinya menaruh lebih banyak harapan, lebih baik dia berundur seawal mungkin andai itu yang terbaik buat mereka. Tidak perlukan penjelasan sedangkan semuanya telah tersingkap luas di depan matanya sendiri. Teringat akan pesanan ustazah sewaktu sekolah menengah Eda berhenti melangkah di depan cermin besar di ruang makan rumahnya.

‘Senyumlah pada diri sendiri setiap pagi maka hari awak akan jadi lebih indah’. Sebuah senyuman dihadiahkan untuk dirinya sendiri. Pekerja El Spa de Belleza memandang ayunan langkah Eda melintasi mereka. Eda cuma membalas senyuman pekerja yang melemparkan senyuman kepadanya. Interkom ditekan, kedengaran suara Ifa membalas sopan dihujung sana.


“Ifa, tolong masuk, bawa sekali tender semalam. I need to discuss the thing with you.” Meskipun usia mereka lebih kurang sebaya, namaun karekter Ifa lebih keanak-anakkan berbanding Eda. Ternyata kehidupan berdikari seawal 18 tahun banyak mematangkan Eda dalam membuat keputusan. Eda memerhati lenggok Ifa masuk ke ruang pejabatnya sambil menatang beberapa buah fail ditangannya.


“Duduklah, mana satu fail tender semalam?” Kalau tak di teliti betul-betul nanti masalah akan timbul. Walaupun sekian lama berkerjasama dengan Hafiz pengurus hotel terkemuka itu, Eda tetap tidak mahu meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya. ‘Bukan boleh percaya sangat lelaki zaman sekarang ni, depan aku pijak semut pun tak mati, belakang aku, anak gajah pun lari agaknya.’

“Seperti yang dah kita bincangkan dengan Encik Hafiz semalam, kita perlukan lebih kurang 5 orang untuk melayan tetamu VIP tu nanti. Kita juga sedia maklum pekerja kita tidak ramai tapi kita mesti maintain pekerja tak kurang dari 4 orang di spa. Jadi saya bekukan cuti untuk staff kita, tolong keluarkan memo untuk itu.” Ifa mengangguk faham arahan bosnya.

Bukan tidak yakin dengan pekerja-pekerjanya tetapi disebabkan En.Hafiz meminta dia agar membekalkan tenaga kerja mahir untuk pelanggan VIPnya terpaksalah Eda membekukan cuti. Tidak mungkin dia membenarkan pekerja yang kurang mahir melayan pelanggannya, dia tidak mahu menanggung sebarang risiko yang mungkin timbul.

‘Bosannya! Apa agaknya Syafiq buat sekarang ni? Aku kerling jam di dinding ofis, pukul 11 pagi. Ah! Pedulikkan je apa dia nak buat. Apa aku kisah?!’ Eda melangkah kaki ke bilik persalinan. Dia perlukan ketenangan dan ketenangan itu ada di spa itu sendiri. Wangian aroma terapi dan urutan lembut di badannya sungguh menyegarkan.


Syafiq memandang pelan lukisan dihadapannya. ‘Argh! Serabutnya otak aku. Tiba-tiba pulak nak tukar tangga ni arah Timur. Ingan tangga mudah alih gamaknya.’ Kertas pelan direnung bagaikan lukisan karbon itu mampu bergerak sendiri menjadi seperti kehendak pelanggannya. Syafiq kehilangan mood untuk berkerja. Sungguh dia penasaran kerana Eda.

Frame gambar di meja di angkatnya ke paras dada. Wajah kanak-kanak itu di pandang penuh kasih. Perasaan sayu segera menyelinap bila paras redup Eda melintasi ruang matanya. ‘Takkan aku nak biarkan dia terus fikir bukan-bukan tentang aku? Baik aku cari dia.’ Bila? Hatinya mula bertanya. ‘Sekarang!’

Usai mengemaskan bagasinya Syafiq mencapai kunci keretanya. ‘Apa nak jadi, jadilah lepas ni.’ Syafiq tidak mahu melepaskan Eda, entah kenapa dia merasakan tidak sanggup kehilangan Eda walaupun sebelum ini tiada langsung rasa kasihnya tumpah buat gadis itu. Lebuhraya lengang tengah hari itu. Almaklumlah hari berkerja, kuranglah jumlah kenderaan di lebuhraya itu.

Kemunculan Syafiq tengah hari itu mengejutkan emak dan ayahnya. Namun tetap disambut tenang kepulangan anak mereka. Usai bersembahyang Zuhur Syafiq menghilangkan lelah sambil berbaring di ruang tamu. Sesekali dikerlingnya ayahnya yang sedang ralit menonton berita di TV. Otaknya ligat menyusun patah ayat yang bakal disampaikan kepada orang tuanya.

“Ayah, Fiq ada hal nak bagitau ni.” Suara Syafiq menarik perhatian ayah dan emaknya yang sedang melipat kain. Syafiq menelan liur untuk membasahkan tekaknya yang terasa berpasir. ‘Aduh, kaget pulak nak bercakap bila mak ayah pandang maca tu.’ Syafiq tarik sengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.

0 comments: