Thursday, May 24, 2012

Aku tak nak jadi andartu ~ 12

Aku diam tak menjawab soalan Syafiq. Kalau setakat nak berbasa basi dengan aku, baik tak payah telefon. Mood aku masih lagi mod puting beliung. Lama keadaan sunyi, entah apa nak diperkatakan semuanya bagaikan hilang dari fikiran. Kosong.

"Ehem, kalau tak ada apa nak cakap tak payah telefon lain kali. Assalamualaikum." Eda berkira-kira nak memutuskan talian. 'Ganggu aku berfikir je'. Gerutu hatinya.

"Eh! Nantilah dulu, saya tak dapat susun ayat lagilah." Suara Syafiq yang kedengaran dicorong telefon segera menarik Eda ke dalam perbualan bisu itu. Syafiq tersenyum mendengar dengusan kasar yang dilepaskan Eda. 

"Saya minta maaf." Berhati-hati dalam meluahkan kata agar Eda tidak tersinggung. Dia tahu Eda masih marahkannya tapi dia juga pelik Eda tidak langsung menelefon untuk menghentikan segala persiapan pernikahan mereka. Doanya moga majlis itu berjalan lancar.

"Saya tahu awak masih marahkan saya, saya boleh jelaskan semua ni." Nada pujukan Syafiq bagaikan menggigit-gigit hati Eda. Bukan dia masih marah, perasaannya kini lebih kepada bingung. Pantas benar semuanya berlaku, tak terkejar rasanya.

"Saya tak marah pun. Saya pun tak tau saya rasa apa." Jujur aku luahkan perasaanku pada Syafiq, biar dia faham.

"Kita jumpa?"

"Kenapa?"

"Untuk jelaskan semuanya."

"Untuk apa?"

"Jernihkan keadaan, hilangkan salah faham. Eda, saya nak balik KL petang ni, kalau awak nak balik sekali lagi bagus. Boleh kita bincang dalam perjalanan nanti." Eda berfikir sejenak.

Dari aku tertanya-tanya lepas tu sasau tak jumpa jawapan, baik aku biarkan je mamat ni terangkan segalanya. Eda terangguk-angguk menyatakan persetujuan seolah Syafiq berada di depannya.

"Eda?" Syafiq menyeru nama tunangnya itu. 'Diam je, nak ke tak ni?'

"Pukul berapa?" Sepatah Eda bertanya. Sebenarnya belum terlintas lagi dihatinya untuk pulang ke Kuala Lumpur. Tapi sampai bila? Selagi masalah tidak dibincangkan, hatinya pasti akan tergagau mencari-cari jawapan. Lalu dia beralah.

Syafiq tersenyum lantas segera memaklumkan kepada Eda waktu mereka akan bertolak. Hatinya lega kerana Eda tidak bertindak melulu, berbeza dengan sikap Alia terhadapnya. Andai saja Alia tidak datang menemuinya hari itu, mungkin Syafiq masih belum dapat mengenal hati Eda. Walaupun sedikit, ternyata setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Eda memandang kereta yang diparkir di laman rumah. 'Kereta aku ni, macam mana pulak ceritanya?' Kepala yang tidak gatal digaru-garu seolah jawapan bakal muncul dari celahan rambutnya. Malas berfikir, Eda ke dapur menjengah makan tengah hari yang telah siap terhidang di meja makan. Perut yang berkeroncong dibiarkan terus berlagu.

Telah menjadi kebiasaannya menunggu orang tuanya untuk makan bersama. Surat khabar diselak-selak tanpa niat untuk membaca. Tiada berita yang menarik perhatiannya hinggalah ke muka helaian gosip. Matanya tertancap pada gambar model yang beraksi seksi itu. Alia Shaqib bakal menamatkan zaman solonya tahun ini. Tajuk berita itu sungguh mendebarkan hatinya, apatah lagi bila isi temubual diantara sang model dan wartawan dibacanya.

Terasa sesak dadanya membaca kenyataan Alia di dada akhbar itu. 'Aku mesti dapatkan penjelasan dari dia, mesti!' Hati kecilnya seolah menjerit namun tiada suara yang kedengaran. Makan tengah hari itu diisi dengan senyum sumbing darinya saat diusik ayahnya tentang majlis yang bakal berlangsung tak lama lagi.

0 comments: