Tuesday, August 18, 2009

Jalan Berliku

Pang!!! Pipi putih bersih milik Amira memerah. Sekali lagi dia dihadiahkan penampar dari suami yang tidak pernah melahirkan walau sedikit rasa sayang buat dirinya. Airmatanya sudah kering menangisi nasib diri. Dahulu dia disiksa ayah tirinya, kini suaminya pula menggantikan 'tugas' yang sedari dulu disandang oleh ayah tirinya itu. Hafiz menggeleng kepala buat sekian kalinya.

"Apa yang kau buat kat rumah ni? Nasi sebutir pun takde! Aku lapar tau tak?" Suara Hafiz bagaikan halilintar memecah kesunyian diantaranya dan Amira. Amira masih lagi membisu, tiada tanda-tanda untuk menjawab kata-kata yang keluar dari mulut Hafiz.

Hafiz segera mencapai kunci kereta dan berlalu keluar dari banglo itu. Memandu tanpa arah tujuan membuatkan dia teringat kisah lalu. Sungguh, Hafiz menyesali pernikahannya dengan Amira. Dia menikahi Amira kerana terpaksa. Entah bagaimana Amira boleh berada di dalam bilik hotel tempat dia melepaskan lelah setelah melawat tapak projek usaha sama syarikatnya dan Razali lima bulan lepas. Dia masih ingat malam itu dia dikejutkan oleh ketukan bertalu di pintu bilik penginapannya. Tanpa sebarang syak wasangka dia membuka pintu.

Terkejut Hafiz sewaktu matanya menangkap kelibat lima orang lelaki berkopiah di hadapan pintu biliknya. Tanpa berkata sepatah, lelaki-lelaki itu terus masuk dan menggeledah biliknya dan menemukan Amira. Amira dijumpai dalam bilik mandi dengan pakaian yang compang-camping. Akhirnya Amira dan dirinya dibawa ke jabatan agama negeri. Disitulah tragedi hidupnya bermula. Sebaik ayah dan ibunya mendapat tahu berita dia ditangkap khalwat, mereka bergegas datang menemuinya di jabatan agama itu.

Muka ayahnya yang merah dan air mata ibunya yang berlinangan sangat-sangat menusuk hatinya. Saat itulah dia dijatuhkan hukuman oleh ayahnya. Hukuman yang kini menyeksa jiwa dan raganya.

"Ayah nak kau nikahi perempuan tu. Jangan kau panggil kami mak dan ayah selagi kau tak menikah dengan dia." Tegas suara ayahnya. Hafiz terkedu memandang emaknya yang sudah menumpahkan air mata entahkan sejak bila. Emaknya tidak mahu memandang mukanya lagi.

"Tapi ayah, Hafiz tak bersalah, dia tiba-tiba je ada dalam bilik tu! Hafiz takde bawak perempuan masuk bilik ayah, mak! Percayalah!" Sedikit merayu suara Hafiz. Tidak sanggup rasanya untuk menikahi perempuan yang tiba-tiba muncul dalam hidupnya itu.

"Mak tak kira, Hafiz kena nikah jugak dengan dia, kalau tak, jangan jejak rumah ni lagi." Lirih suara emaknya menampar cuping telinga tapi bagai belati tajam dihatinya. Kepala Hafiz pusing memikirkan kehendak emak dan ayahnya. Apa lagi yang mampu dilakukannya selain menurutkan kehendak mereka.

"Amira, mak cik mintak maaf atas semua kejadian ni, mak cik harap Amira terima lamaran kami. Mak cik nak bersihkan nama Amira dan nama anak mak cik yang dah tercemar sejak kejadian malam tu. Mak cik dan pak cik ikhlas menerima Amira sebagai menantu kami. Lupakanlah kisah lalu, kita mulakan hidup baru." Suara Puan Rahimah menampar cuping telinga Amira. Amira tidak mampu mengucapkan apa-apa. Dialah punca nama baik keluarga itu tercemar dan jika dengan pernikahan itu nama itu mampu dibersihkan, dia rela. Anggukan perlahan darinya disambut dengan senyuman lega dari Encik Ghazali dan Puan Rahimah tetapi jelingan tajam diberikan oleh Hafiz.

Keluhan berat dilepaskan oleh Hafiz. Kereta yang dipandu sudah berhenti di perkarangan rumah teman baiknya, Razali. Temannya itulah tempat dia meluahkan segala rasa yang terpendam. Walaupun Razali mempunyai perwatakan yang agak lembut, Hafiz tidak kisah. Dia senang berdampingan dengan Razali. Razali adalah antara ahli perniagaan yang berjaya, itu menunjukkan orang seperti Razali juga mampu bersaing dan mempunyai daya usaha yang tinggi. Bidang perniagaan di Malaysia masih lagi belum mampu menerima orang seperti Razali, tetapi berkat usaha gigihnya meyakinkan ahli perniagaan yang lain, dia berjaya menempa nama dalam bidang perniagaan seiring dengan usahawan berjaya yang lainnya.

"Eh? Apa kes you datang rumah I tiba-tiba ni? Gaduh dengan bini you lagi ke?" Razali bertanya prihatin. Dari raut Hafiz yang keruh dia sudah dapat meneka sebab kedatangan temannya itu.

"Perempuan kat rumah tu, tak layak dipanggil bini. Takde benda yang dia buat yang membolehkan dia dapat title as my wife. Entah macam apa je perangai." Hafiz mendengus kasar, melampiaskan marah yang berbuku di dada. Razali hanya menggeleng.

"Takpelah, you relax lah dulu kat sini. Rumah I pun takde sape." Razali tidak kisah sekiranya Hafiz ingin berehat dirumahnya, memang dahulu dia ada menyimpan perasaan pada Hafiz, tetapi dia sedar Hafiz tidak berminat dengan kaum sejenisnya lantas cepat-cepat dia membuang jauh perasaan itu. Hafiz mengangguk lesu.

"I don't know why, I can't stop thinking of her. Seminggu I tinggalkan dia pergi Johor aritu, I tak boleh tumpukan perhatian pada kerja. But today, bila I balik, I asik nak marah je kat dia. Dia tak masak pun untuk I, walhal I dah bagitau dia I nak balik arini." Hafiz meluahkan perasaannya tanpa dipaksa. Razali hanya diam mendengar.

"Dia terlupa kot?" duga Razali.

"Takkanlah, pagi tadi sebelum bertolak pun I dah ingatkan dia." Hafiz menggeleng perlahan. Teringat akan roti kosong yang sudah berkulat diatas meja dirumahnya membuatkan dia bengang. Sengaja dia tidak makan tengah hari kerana ingin menikmati sepuas-puasnya air tangan isterinya. Tetapi isterinya seperti tidak mahu melayani kehendaknya. Entah kenapa seminggu berada berjauhan dari Amira membuatkan dia rindu.

Dia rindu akan Amira yang menunggu kepulangannya saban malam, walaupun dia pulang waktu dinihari, Amira tetap setia menunggunya dan menyambutnya dengan senyuman manis. Setiap malam dia dijamu makanan hasil air tangan Amira. Sungguhpun begitu, hatinya masih keras untuk menyentuh Amira sebagai isterinya yang sah. Biliknya dan bilik Amira diasingkan, itu kehendaknya sendiri. Dia ego untuk mengakui hatinya kini dicuri isterinya sendiri.

********************

Amira termenung. Usia perkahwinannya dengan Hafiz sudah menjangkau lima bulan, tetapi suaminya itu tidak pernah menunjuk sebarang perasaan terhadap dirinya. Sering sahaja dia menjadi mangsa herdikan keras Hafiz. Sebaik mungkin dia telah berusaha untuk menjadi isteri yang baik kepada lelaki itu, tetapi usahanya bagaikan sia-sia. Sewaktu pemergian Hafiz ke Johor seminggu lepas, dia takut untuk meminta wang saku untuk perbelanjaan dapur. Akibatnya sudah empat hari dapur rumahnya tidak berasap. Hanya air milo yang mampu diteguknya setiap kali perutnya berbunyi minta diisi.

Hari ini sebaik sahaja Hafiz sampai ke rumah, laju sahaja langkah suaminya itu ke dapur. Belum sempat dia berkata apa-apa, tangan Hafiz sudah melekap kepipinya. Hampir sahaja dia pengsan akibat tamparan itu. Mujurlah dirinya telah terbiasa dengan segala jenis pukulan hasil 'didikan' ayah tirinya dahulu. Hanya pandangan kosong mengiringi kepergian suaminya yang keluar tanpa pamitan sebentar tadi. Amira mengeluh. Mengenangkan sampai bilakah hidupnya akan diselubung kehibaan yang tiada penghujung.

Amira bingkas menunaikan solat Maghrib setelah yakin waktu Maghrib telah pun masuk. Rumahnya yang terletak di pinggir bandar dan jauh dari kawasan perumahan menyukarkan dia untuk mendengar azan, hanya berpandukan jam dinding yang tergantung di ruang tamu dia menunaikan kewajipannya kepada yang Esa. Di dalam doanya Amira memohon supaya hati Hafiz dilembutkan dan menerima dirinya sebagai isterinya. Dia mahukan kasih sayang suaminya itu, kerana dia tahu suaminya tidak mempunyai kekasih hati sebelum menikahinya. Itu bermakna dia masih punya peluang untuk memiliki hati Hafiz.

Amira menjenguk ke dapur, mencari bahan-bahan yang memungkinkan dia untuk memasak sesuatu untuk suaminya. Beras yang tinggal segenggam ditanaknya menjadi bubur, daging cincang yang tinggal sisa di goreng berlada bersama telur yang tinggal sebiji. Menitis air matanya melihatkan tiada apa yang tersisa untuk dimasak bagi menjamu suaminya. Bawang yang ada dicincang dan digoreng. Kini Amira hanya menunggu Hafiz pulang. Harapannya agar Hafiz pulang, bibirnya yang pucat akibat kekurangan makan digigit perlahan menahan kelaparan.

Tepat pukul satu pagi pintu rumahnya diketuk, Amira yang tertidur di ruang tamu rumah bingkas bangun membukakan pintu buat suaminya. Hafiz melangkah masuk dengan muka masam. Segera tangan Hafiz dicapai dan dikucup perlahan oleh Amira. Walaupun kemarahan Hafiz masih tersisa, dia membiarkan Amira mencium tangannya.

"Abang dah makan? Mira ada masakkan bubur untuk abang. Abang makan ye?" Amira mengajak suaminya untuk makan.

"Aku dah kenyang." Hafiz menjawab tanpa nada. Amira hanya terdiam.

"Sampai hati abang buat Mira macam ni." Perlahan suara yang terkeluar dari mulut Amira tetapi terdengar oleh Hafiz. Hafiz hanya membiarkan keluhan isterinya berlalu bersama angin malam. Air mata bergenang di kelopak mata Amira, sungguh dia tidak sanggup lagi menahan rasa dengan suaminya itu. Segala pengorbanannya selama ini hanya dipandang sepi.

Amira sedar dia hanyalah perempuan kampung yang telah mengaibkan Hafiz dan keluarganya. Oleh itu dia berusaha bersungguh-sungguh bagi menawan hati suaminya itu. Ibu dan bapa mertuanya tinggal nun jauh di utara tanah air. Sepanjang perkahwinannya dengan Hafiz, Amira hanya dibawa berjumpa mereka sebanyak dua kali, sekali pada hari perkahwinan mereka dan sekali lagi apabila ibu dan bapa mertuanya itu menyuruh mereka balik ke kampung bagi meraikan orang baru dalam keluarga mereka, hasil perkahwinan abang sulung Hafiz. Amira juga menginginkan anak seperti perempuan lain yang sudah berumahtangga, tetapi apakan dayanya.

Hafiz hanya memandangnya sebagai pembantu di rumah besar itu. Seminggu sekali Hafiz akan ke pasar dan membawa balik lauk pauk yang di belinya di pasar. Amira tidak pernah dibawa keluar dari rumah itu, Hafiz seperti malu untuk membawa Amira keluar. Amira menangis sepuasnya malam itu. Amira tekad, dia membawa sebuah beg sandang berisi pakaiannya. Biarlah dia membawa diri andai itu dapat membahagiakan Hafiz. Dia hanya mendoakan suaminya itu berbahagia dengan ketiadaannya kelak.

Sekeping surat diletakkannya di bawah tudung saji, dia pasti suaminya itu akan membuka tudung saji itu untuk bersarapan esok pagi. Selesai meletakkan surat itu Amira keluar dari rumah yang menyimpan bermacam memori bagi dirinya.

*******************************

"Mira!" Bergema suara Hafiz dalam banglo miliknya. Dia kehairanan, sejak dia bangun tidur hinggalah dia turun untuk bersarapan, kelibat isterinya itu tidak kelihatan. Tidak seperti kebiasaan. Selalunya Amira yang akan mengejutkannya untuk solat subuh, dan mengikatkan tali lehernya tetapi hari ini semuanya terpaksa dilakukannya sendiri. Akibatnya, dia terlewat bangun. Sebaik membuka tudung saji Hafiz terkejut melihatkan sekeping surat di bawahnya.Segera surat itu di ambil dan dibacanya.

Assalamualaikum abang,

Abang, Mira mintak maaf atas kepergian Mira ini. Mira harap abang berbahagia dengan ketiadaan Mira. Mira tahu selama ini Mira dah banyak menyusahkan abang, halalkan makan minum Mira selama ini. Mira sayangkan abang. Mungkin cara dan tempat kita berjumpa tidak sesuai sehingga abang tak mampu nak terima Mira sebagai isteri abang yang sah. Mira tahu Mira banyak kekurangan, terlalu banyak tanggungjawab yang tak mampu Mira lakukan untuk abang. Abang, Mira pergi untuk berikan abang ketenangan, Mira tahu abang banyak masalah di pejabat, harapnya Mira dah hilangkan satu dari masalah abang. Abang, Mira tak mampu untuk sediakan makanan lain untuk abang. Dalam peti ais, ada Mira simpankan bubur semalam untuk abang. Panaskan dan makanlah kalau abang sudi.

Sekian,
Amira

"Ya Allah, Mira!" Hafiz penasaran, isterinya telah pergi. Entah ke mana hala tuju isterinya itu. Dia sendiri bingung dengan situasi itu. 'Amira mesti dicari, mesti!'

********************************

Sebaik melangkah keluar dari rumah banglo itu, air mata Amira merembes laju. Dia buntu untuk mengawal langkah kakinya, akhirnya dia berjalan tanpa arah. Sebaik tiba di jalan besar, kakinya tidak mampu lagi untuk melangkah. Amira rebah di tepi jalan itu. Sebuah kereta berhenti melihatkan Amira yang terbaring kaku di tepi jalan itu. Tubuh Amira dicempung dan dibawa ke hospital.

"Maafkan saya, boleh saya tahu siapa yang bawa pesakit sebentar tadi?" Seorang doktor berbangsa India bertanya kepada jururawat yang bertugas.

"Saya yang bawa, kenapa dengan pesakit doktor?" Ashraf bertanya sekaligus menjawab pertanyaan doktor sebentar tadi. Doktor tua itu menggeleng. Membuatkan dada Ashraf berdegup kencang. Walaupun bukan Ashraf yang bertanggungjawab di atas keadaan Amira, dia bersimpati pada Amira. Amira kelihatan sungguh lemah sewaktu terbaring di tepi jalan tadi.

"Pesakit sangat lemah. Untuk sehari dua ini, saya minta dia ditinggalkan di sini bagi mendapatkan jagaan rapi." Ashraf menggangguk perlahan. Dia tidak kisah menanggung bil perubatan perempuan yang dijumpainya sebentar tadi. Perempuan itu dilihatnya sangat kasihan. Hatinya terusik mengenangkan kesusahan keluarganya satu masa dahulu. Mungkin ini masanya bagi membantu mereka yang memerlukan, ucap Ashraf di dalam hati.

Hafiz keresahan. Entah di mana harus di carinya Amira. Kini dia yakin, hatinya milik Amira. Dia mahu menyampaikan berita itu kepada Amira, tetapi bagaimana?

"Amira, maafkan abang." Ego lelakinya runtuh. Dia tidak sanggup kehilangan Amira buat selamanya. Dia ingin membawa Amira pulang, menjadikan Amira penyeri rumahtangganya.

Keretanya dihalakan ke rumah Razali. Sahabatnya itu sedang bercuti, dia berdoa agar Razali berada dirumahnya tika itu. Hafiz lega melihatkan kereta Razali masih elok terparkir di halaman rumah. Tanpa berlengah Hafiz turun dan sekelip mata dia sudah terpacak di depan pintu rumah Razali. Razali yang kelihatan masih mamai akibat dikejutkan dari tidur terjengul dan membukakan pintu rumahnya buat Hafiz.

"Kenapa you ada kat rumah I pagi-pagi buta ni?" Razali bertanya malas. Moodnya seakan-akan hilang kerana tidurnya yang terganggu. Sudahlah malam tadi dia tidur lewat, setelah Hafiz pulang ke rumahnya, Razali keluar bersama beberapa rakannya ke kelab hiburan di ibu kota dan pulang ke rumah hampir pukul empat pagi. Muka Hafiz ditenungnya.

"Amira. Amira dah lari, dia dah tinggalkan I! I tak tau nak cari dia kat mana, you tolong I cari dia?" Razali membuka matanya luas-luas.

"Hey man! That's a great news! You kan tak suka kat dia, let her go. Lepas ni dah takde sape lagi nak ganggu hidup you. That's what you want right?" Razali mengukirkan senyuman meraikan berita yang baru di dengarnya sebentar tadi. Hafiz mencerlung memandang Razali.

"I need her! I want her back, she's my everything. I love her. Zali, tolonglah I, you rasa dia pergi mana?" Razali memandang muka Hafiz tanpa riak. Kepalanya pusing melihatkan gelagat Hafiz, baru semalam Hafiz memuntahkan segala amarahnya terhadap Amira, hari ini dia sudah berubah fikiran? Razali membiarkan Hafiz duduk sendirian di ruang tamu rumahnya.

"I pergi mandi kejap, you tunggu sini. nanti I datang." Razali memberikan arahan kepada Hafiz, Hafiz hanya mengangguk. Dalam kepalanya ligat memikirkan tempat-tempat yang mungkin Amira pergi. Sebentar kemudian Razali muncul semula, kali ini dia sudah berpakaian kemas.

"I nak pergi hospital dulu, nak ikut I tak?" Ringkas Razali bertanya. Dia ingin melawat pekerja mereka yang di timpa kemalangan sewaktu bertugas di tapak projek.

"For what reason?" Hafiz terkejut dengan pelawaan Razali. Razali tidak mahu menolongnya mencari Amira? Hafiz buntu.

"Staff kita ada yang masuk hospital, kemalangan kat site. Tak salah kita pergi tengokkan? Lepas tu kita fikir la nak cari kat mana wife you tu." Razali memberitahu rancangannya kepada Hafiz. Hafiz hanya menurut kata-kata Razali, otaknya tidak mampu berfikir secara waras ketika itu. Perasaannya mengawal segala tindak-tanduknya. Razali memandu tenang ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

Hafiz terlihat Amira bersama seorang lelaki di kafeteria hospital. Amira dilihatnya memakai pakaian pesakit manakala lelaki dihadapannya memakai pakaian ke pejabat.' Siapa lelaki itu?' Hati kecil Hafiz memberontak untuk mengetahuinya. Langkahnya diatur menghampiri Amira dan lelaki yang tidak dikenalinya itu. Amira terkedu.

"Abang?" Amira bersuara setelah melihat Hafiz berdiri di sisi meja. Hafiz cuba berlagak tenang. Wajah pemuda dihadapan Amira dipandang. Amira yang dapat mengagak fikiran Hafiz segera memperkenalkan Ashraf.

"Ini Ashraf, dia yang hantar Mira ke sini malam tadi" Sopan Amira memberitahu Hafiz.

"Kenapa Mira kena hantar ke sini?" Nyata Hafiz terkejut dengan pernyataan Amira.

"Saya jumpa Amira terbaring di tepi jalan tak sedarkan diri, dia cuma keletihan dan keadaannya sangat lemah buat waktu ini, jadi doktor minta dia untuk tinggal di sini selama dua tiga hari." Ashraf menjelaskan panjang lebar tentang keadaan Amira yang diketahuinya. Amira hanya tunduk menekur lantai.

"Saya minta diri." Ashraf meminta diri setelah dapat menghidu suasana tegang diantara Amira dan Hafiz. Hafiz mengucapkan terima kasih kepada Ashraf. Sebaik Ashraf berlalu, Hafiz mengambil tempat dihadapan Amira. Nafasnya dihela perlahan.

"Mira." Amira masih lagi menunduk, takut untuk bertentang mata dengan Hafiz. Dia bimbang sekiranya dimarahi dihadapan pengunjung kafeteria itu. Nyata sangkaannya meleset, Hafiz menggenggam erat tangannya lantas dibawa ke bibir. Sebuah kucupan hangat dihadiahkan Hafiz. Amira terpana dengan perlakuan Hafiz. Segera Amira melarikan matanya apabila Hafiz mengangkat muka memandangnya.

"MIra sakit ye? Kenapa tak bagitau abang?" Lembut kata-kata Hafiz, tiada lagi nada kasar yang selalu didengarinya. Amira benar-benar keliru dengan situasinya sekarang.

"Abang tau abang salah selama ni, boleh Mira maafkan abang?" Hafiz memandang Amira penuh pengharapan. Dia amat berharap Amira memaafkannya dan menerimanya kembali dalam hidup Amira. Amira yang sedari tadi membisu menambahkan resah dihatinya. Dia tidak sanggup kehilangan Amira. Dia sedar dia telah lama jatuh cinta pada isterinya tetapi malu untuk mengakuinya. Dia malu untuk mengaku bahawa dia menyintai seorang perempuan kampung yang dahulu dipandang hina olehnya. Kini semuanya telah berubah, egonya harus diketepikan sekiranya dia tidak mahu kehilangan Amira.

"Mira takut." Sebaris ayat yang terkeluar dari mulut Amira memeranjatkan Hafiz. 'Takut? kenapa harus takut?' Akal Hafiz ligat mencari jawapan bagi persoalan yang ditimbulkan hatinya.

"Mira takut abang pukul Mira lagi, Mira takut abang tengking Mira, Mira dah cuba buat yang terbaik untuk abang, tapi abang tak pernah puas, Mira tak mampu nak puaskan hati abang." Lancar Amira menuturkan ayat yang telah disusunnya sedari tadi. Dia tidak mahu lagi menyusahkan hidup Hafiz. Dia sanggup diceraikan sekiranya itu yang membuatkan Hafiz bahagia.

"Sayang, abang minta maaf. Selama ni abang cuba nafikan perasaan abang terhadap Mira, tapi sekarang abang takkan nafikan lagi. Abang sayangkan Mira, abang perlukan Mira dalam hidup abang. Mira balik ye? Balik rumah kita?" Tenang Hafiz meluahkan rasa yang terbuku dihatinya sejak sekian lama. Amira tersentak mendengar pengakuan dari Hafiz, mata Hafiz dicari. Amira ingin memastikan apa yang didengarnya tadi bukanlah khayalan. Hafiz mengganggukkan kepalanya melihatkan Amira memandang meminta pengertian darinya.

Air mata jernih mula berlinang dari tubir mata Amira. Inilah saat yang ditunggunya selama ini. Saat suaminya sendiri menyatakan rasa cinta kepadanya. 'Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu kerana memberikan aku kebahagiaan ini. Engkau panjangkanlah jodoh diantara kami.' Dalam hati Amira mengungkapkan doanya kepada maha pencipta. Tangan Hafiz dikucupnya perlahan.

"Abang, maafkan Mira sebab keluar rumah tanpa izin abang, Mira pun sayangkan abang." Air matanya semakin deras mengalir.

"Abang tak marah sayang. Tapi abang minta sangat, jangan buat lagi ye? Abang boleh gila tau tak tengok muka sayang bila bangun tido?" Air mata di pipi isterinya disapu. Senyuman menghiasi wajah keduanya. Mereka sama-sama menyemai impian supaya kehidupan rumah tangga mereka selepas ini sentiasa aman damai. Razali yang memandang dari kejauhan turut tersenyum melihatkan temannya telah mampu meluahkan perasaan kepada isterinya.


P/s: ni 1st cerpen, segala komen untuk memperbaiki mutu karya saya, saya terima dengan senang hati (^_+)v

0 comments: