Monday, June 13, 2011

Aku tak nak jadi andartu ~ 9

Syafiq membiarkan telefonnya berdering sendiri. Hatinya panas, entah kenapa dia berasa begitu bimbang hati tunangnya milik orang lain. Rambut yang terjuntai didahi dikuak ke belakang, keluhan perlahan dilepaskan. Sementara itu Eda terus setia mendail nombor telefon tunangnya.

‘Haih! Merajuk lama sangatlah pulak. Macam perempuanlah dia ni.’ Muncungnya terjuih-juih menunjukkan rasa tak puas hatinya. Letih mendail akhirnya Eda menghantar mesej maaf kepada Syafiq.  Akhirnya Eda terlelap menampung berat mata yang tak terdaya lagi untuk dibuka.

Syafiq mundar mandir di koridor kondominiumnya. Kain tuala dililit dilehernya tetapi tiada tanda-tanda untuk dia melangkah ke bilik mandi. Deretan kereta yang membanjiri jalan-jalan sekitar Bukit Bintang dapat dilihatnya dengan jelas. Mujur dia tidak akan tersekat didalam kesesakan itu. Jarak kediamannya dengan Menara Berkembar KLCC cuma 15 minit perjalanan jika berjalan kaki.

Syafiq bingung dengan dirinya. Dia tidak pernah menaruh rasa pada Eda sebelum ini, malah gadis itu tidak pernah terlintas dibenaknya waima sekalipun. Tetapi kenapa setelah terikat dengan tali pertunangan gadis itu kerap mengganggu akal warasnya sehingga kadang-kadang tak logik dek akal tahap cemburunya?

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tengah hari itu Eda bersama Ifa, melangkah masuk ke Hotel  The Ascott. Sunglass yang elok terletak di batang hidung diletakkan diatas kepala, rambut yang ikal mayang tadinya terurai  kelihatan lebih rapi kini. Mini skirt berwarna turqoise mengikut bentuk tubuh menyerlahkan keanggunan Eda. Beberapa staff hotel melemparkan senyuman ke arahnya dibalas ramah.

Ifa yang mengekorinya dari belakang juga tidak kurang gaya. Kedua-dua wanita itu bergerak pantas ke ruang makan hotel mencari tetamu yang menanti mereka. Tetamu ini sangat berharga bagi mereka kerana sering mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda untuk spa perusahaannya. Senyuman melebar dimuka Eda melihatkan tubuh sasa Hafiz. Mereka sedang menikmati hidangan tengah hari bersama semasa mata Eda terkesan kehadiran Syafiq di ruangan yang sama.

Seketika kemudian kelihatan seorang gadis menghampiri Syafiq. Gadis itu mengambil tempat disebelah Syafiq. Gelagat gadis itu menimbulkan rasa kurang senang di dada Eda, seperti ada yang tidak kena dengan kedua mereka. Segera Eda menghabiskan makanan dan segera beredar ketika tidak tahan lagi menonton drama cinta di depan mata yang dibintangi tunang sendiri bersama seorang gadis tidak dikenali.

Hatinya berdebar sewaktu melintasi meja Syafiq, senyuman yang sengaja dibuat-buat dihadiahkan untuk Syafiq yang tercengang memandangnya. Wajahnya Syafiq bertukar warna serentak meronta melepaskan tangannya yang di peluk Alia. Langkahnya mulai melaju memintas Eda. Eda yang terpaksa berhenti kelihatan bengang memandang Syafiq. Matanya mula mengerling memandang gadis disebelah Syafiq, seakan biasa dilihatnya gadis itu.

“Eda dah salah faham ni.” Sepatah Syafiq memulakan bicaranya. Hafiz dan Ifa memandang Syafiq dan Eda secara bergilir-gilir, cuba membuat spekulasi berdasarkan situasi. Eda hanya memandang Syafiq seolah orang dungu meminta penjelasan. Melihatkan gadis tidak dikenalinya itu mula mengugah lengan tunangnya, hati Eda menjadi panas. Segera Eda melangkah meninggalkan Syafiq yang tidak dapat mengeluarkan penjelasan.
Hafiz meminta diri untuk pulang sebaik sampai di lobi hotel. Ifa pantas mengekori Eda ke medan letak kereta. Melihatkan air muka Eda yang masam mencuka Ifa berdiam diri, takut untuk bertanya mengenai sketsa pendek sebentar tadi. Raut lelaki tampan tadi ada riak bersalah, wajah bosnya seakan pilu berbaur marah, manakala model disisi lelaki itu terlihat berpura-pura kebingungan. ‘Sketsa apakah ini?’

Masa sepanjang dua tahun tidaklah terlalu panjang untuk dikatakan mengenali seseorang tetapi cukup untuk mengenali seorang wanita bernama Farazatul Farida di hadapannya. Wanita itu teguh pendirian dan cukup kuat menghadapi dugaan hidup. Jarang sekali dia melihat wajah anggun itu mencuka begitu. Ifa terkejut apabila Eda menghentikan keretanya secara tiba-tiba.

“Ifa, saya minta maaf turunkan awak kat sini. Saya kurang sihat, minta tolong awak uruskan spa untuk harini.” Eda mencuba mengawal perasaannya tetapi gagal. Dia perlu mencari ketenangannya sendiri dan pastinya beban kerja tidak membantu mengurangkan rasa hatinya. Ifa mengangguk dan melangkah keluar dari perut kereta dengan hati-hati.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Mata Syafiq mencerlung memandang batang tubuh Alia. Sakit benar hatinya melihatkan wajah yang pernah menjadi pujaan hatinya itu. Entah kenapa terasa ringan tangannya untuk melayang ke wajah itu, namun disabarkan hatinya agar tidak tercatat dalam kamus hidupnya gelaran dayus. Senyuman sinis Alia menambahkan rasa panas di hatinya. Entah apalagi yang dimahukan oleh Alia setelah merenyukkan hatinya.

Alia memeluk tubuh, hatinya tersentak tatkala dia menerima message dari Syafiq malam kelmarin. Pantas dia meminta PAnya membuat tempahan tiket kapal terbang dari Brunei ke Malaysia secepat mungkin. Dia menyayangi lelaki itu, mana mungkin dia melepaskan Syafiq setelah bertahun-tahun menyemai kasih bersama. Pada fikirannya Syafiq mungkin merajuk setelah lamaran yang dikemukakannya tempoh hari tidak diendahkan olehnya.

Disoroti setiap inci tubuh Syafiq, puas diteliti sehinggalah dia terperasankan sesuatu yang berlainan di tangan kiri buah hatinya itu. Tangan itu dicapai dan diteleknya. Sebentuk cincin suasa sama rekaannya dengan cincin yang pernah disuakan beberapa kali kepadanya tersarung disitu. Jantungnya berdegup laju, bimbang kemungkinan yang terlintas dibenaknya adalah suatu kenyataan.

“Alia, lepas ni I tak nak jumpa you lagi. I tunangan orang dan perempuan tadi adalah tunang I. Hubungan kita takkan ke mana, jadi I dah buat keputusan dan I harap you hormat dengan keputusan I.” Alia terpempam dengan kenyataan yang keluar dari bibir Syafiq. Mengikut perkiraannya tidak mungkin Syafiq mempunyai kekasih lain selain dari dirinya.

Mustahil Syafiq punya masa senggang setelah setiap hari mengekorinya ke studio. Bahkan kadangkala Syafiq turut ditawarkan menjadi model lelaki untuk berdamping dengannya dek kerana wajah tampannya itu. Sendu yang ditahan Alia akhirnya pecah juga di tubir mata. Terkesan di hati Syafiq perasaan belas untuk Alia tapi manakan mungkin dia menarik keputusan yang telah dibuat? Tiada kesanggupan untuk dia melukakan hati orang tuanya.

Alia dibiarkan menangis di meja hidangan, laju kaki Syafiq melangkah sambil otaknya ligat berfikir ke mana mungkin Eda membawa dirinya. Dalam masa dua minggu otaknya sudah menjadi tepu dengan pelbagai masalah dan kejadian tidak dijangkakan. Namun tidak mampu dinafikan rasa sayangnya mula bercambah untuk wanita bernama Farazatul Farida. Wanita yang bisa mengalihkan perhatiannya dari model terkemuka dan digilai ramai walau parasnya tidak secantik Alia namun dia punya tarikan tersendiri yang menggetarkan nalurinya sebagai lelaki.


1 comments:

merlin said...

hehe..best2..novel ni mcm lagi pnjng dari sblum ni..lagi2..:-)..mkin lama pnulisan kamu mkin mtang..;-)