Friday, August 28, 2009

Noda Hitam

Angin malam membelai tubuh Lokman. Fikirannya dibiarkan melayang bersama angin, membawanya ke satu dimensi di mana hanya dia dan Saliha yang menjadi penghuni. Matanya dipejam rapat menikmati bau haruman Saliha, dalam dia menarik nafas kemudian melepaskannya semula bersama sebuah senyuman. Hatinya puas dapat melihat Saliha tersenyum riang dan melambai kearahnya. Belum pernah Lokman bertemu wanita secantik Saliha, hatinya terpaut pada pertemuan mereka yang pertama.

Saliha memakai sepasang jubah seluar berwarna biru muda, rambutnya yang ikal dilepaskan tidak berikat. Apabila berjalan, rambutnya mengikut lenggok tubuhnya membuatkan Lokman tidak mahu lepas memandangnya. Lokman tergelak kecil mengingati peristiwa pertemuan mereka. Wajah Saliha tersenyum terbayang diruang mata. Sungguh mempersonakan. Dalam hatinya memasang angan untuk memiliki Saliha. Untuk itu dia harus berani memulakan langkah. Dia mula berkira-kira untuk menegur Saliha.

Nasib Lokman agak baik pagi itu, Dia terserempak dengan Saliha di dalam lif, kebetulan mereka berkerja di lantai yang sama. Kepalanya ligat mencari jalan memulakan perbualan. Lidahnya kelu tiba-tiba berhadapan dengan gadis pujaan. Saliha yang menyedari kegugupan Lokman melemparkan senyuman.

"Awak pekerja baru kat sini kan?" Saliha memulakan bicara. Senyuman masih lagi bergayutan dibibirnya. Lokman mengangguk laju.

"Ya, saya baru bekerja disini. Baru tiga hari, saya Lokman. Nama cik siapa?" Lokman memberanikan diri bertanya nama gadis dihadapannya. Hatinya berbunga apabila Saliha menegurnya tadi. Dia masih lagi segan mahu memulakan perbualan memandangkan dia baru memulakan kerja di syarikat itu dan belum lagi mengenali cara pergaulan di situ.

"Saya Saliha, setiausaha Dato' Rahman. Rasanya belum terlambat saya nak ucapkan selamat datang kan? Selamat datang ke sini, ada apa-apa masalah bolehlah tanya saya. Kalau termampu untuk saya tolong, saya tolong. Ok lah, saya masuk kerja dulu. Bye." Saliha menamatkan bicara apabila sampai ke mejanya. Lokman mengangguk tanda faham.

Lokman berpuas hati dapat mengetahui serba sedikit mengenai Saliha. Dia tidak mahu Saliha melihatnya sebagai seorang yang gelojoh. Biarlah perkenalan itu berjalan secara berperingkat. Kerjanya sebagai pembantu akauntan syarikat memerlukannya selalu berurusan dengan Saliha. Saliha menguruskan kewangan Dato' Rahman, segala bil perbelanjaan Dato' Rahman disimpan oleh Saliha. Lokman juga selalu meminta penjelasan andainya bil yang dikemukakan menunjukkan amaun yang besar.

Genap tiga bulan Lokman berkerja dengan syarikat itu. Dia mula merasakan bahawa dia harus berterus terang mengenai perasaanya kepada Saliha. Tangah hari itu Lokman mengajak Saliha keluar makan bersama. Saliha menolak kerana dia perlu menemankan Dato' Rahman makan bersama pelanggan. Walaupun kecewa, Lokman tetap tidak patah semangat. 'Esok masih ada' kata hatinya. Tengah hari itu Lokman makan bersama teman-teman sepejabat yang lain.

"Aku tengok kau dengan Saliha tu rapat semacam je? Ada apa-apa ke?" Alif memulakan perbualan sementara menunggu pesanan makanan mereka sampai.

"Eh? Takde apa-apalah! Biasa je, kitorang nampak rapat pun sebab aku banyak bertanya dia tentang perbelanjaan Dato', kalau tak mana ada rapat." Lokman malu mahu membongkarkan rahsia hati pada teman-teman sepejabat. Dia sudah berjanji kepada dirinya sendiri tidak akan memberitahu sesiapa mengenai perasaannya selagi dia belum pasti tentang perasaan Saliha terhadapnya. 'Adakah dia juga sepertiku?' hatinya resah memikirkan jawapan persoalan itu.

Kadangkala Saliha melayannya lebih dari seorang kawan, tetapi ada ketikanya Saliha seolah-olah mahu mengelak darinya. Dia menyedari sikap Saliha itu, tetapi dia tidak kisah. 'Mungkin Saliha malu diperhatikan rakan sepejabat' kata hatinya. Seminggu berlalu, kelibat Saliha langsung tidak kelihatan di pejabat. Lokman tak keruan. Dia rindukan Saliha, senyumannya, harumannya, lenggoknya. Tetapi untuk bertanya kepada teman sepejabat, dia malu.

Hari minggu itu Lokman ternampak Saliha bersama beberapa orang temannya di pusat membeli-belah. Pakaian Saliha yang agak seksi sungguh menarik bebola matanya untuk memandang. Tidak berkerdip matanya memandang gadis itu yang langsung tidak menyedari dirinya diperhatikan. T-shirt putih sendat dipadankan bersama jeans straight cut berwarna hitam menyerlahkan bentuk tubuh Saliha. Mafla yang dililit dilehernya hanyalah sebagai penambah gaya. Teman-teman Saliha juga kelihatan fashionable sama seperti Saliha.

Lokman hanya memerhatikan gerak-geri gadis pujaannya dari jauh. Seharian dia menghabiskan masa mengintai aktiviti Saliha, tiada apa yang mencurigakan baginya. Saliha sama seperti gadis-gadis lain yang gemar bershopping dan menghabiskan masa bersama teman-temannya fikir Lokman.Saliha yang keletihan mencampakkan tubuhnya ke sofa empuk. Matanya cuba dipejamkan. Teringat akan amaran Dato' Rahman kepadanya seminggu lalu.

"Sally, rapat Sally dengan budak Lokman tu? Ada apa-apa yang patut Sally bagitau Man?" Saliha tersentak mendengarkan pertanyaan Dato' Rahman. Tangan Dato' Rahman yang melingkari pinggangnya dileraikan. Hatinya resah. 'Adakah Dato' Rahman sudah dapat menghidu perasaannya terhadap Lokman?' cepat-cepat dia menepis persoalan itu dari benaknya.

"Apa yang Man fikirkan ni? Sally takde apa-apa pun dengan dia. Kenapa? Man cemburu dengan dia ye?" Senyuman nakal dihadiahkannya pada Dato' Rahman. Dato' Rahman memandang wanita dihadapannya. Walaupun Saliha bukan isterinya yang sah, dia menyanyangi Saliha lebih dari segalanya. Semua kehendak Saliha dituruti. Keluarga Saliha juga turut mendapat habuannya apabila Saliha sering merengek memintanya mengirimkan duit ke kampung. Tubuh Saliha ditarik kedakapannya.

"Man sayang Sally, Man tak nak Sally tinggalkan Man dan pergi ke budak Lokman tu. Sally fahamkan?" Saliha mengangguk perlahan. Dia faham perasaan lelaki itu terhadapnya tetapi dia tidak mampu menepis kenyataan bahawa dia menyukai Lokman.

"Kalau Sally nak juga pergi ke budak tu, Man nak buat apa?" Sengaja dia ingin menduga Dato' Rahman.

"Man akan bunuh dia. Sally pula Man kurung dalam rumah." Tegas nada Dato' Rahman. Saliha mencuit hidung lelaki dihadapannya. Dia tidak pernah menyimpan perasaan cinta pada lelaki itu, yang ada cuma rasa kasihan. Nasib lelaki itu sungguh malang baginya. Isteri Dato' Rahman jarang berada di rumah bagi melayaninya, anak-anak juga tidak lagi tinggal bersama mereka. Seorang menetap di Dubai membina kerjaya di sana, seorang lagi tinggal bersama mak cik sebelah ibunya di Indonesia.

Dato' Rahman sering mengadu bahawa dirinya kesunyian. Isteri yang sibuk berpersatuan dan menghadiri mesyuarat di sana-sini tidak lagi mengendahkan dirinya. Perkenalannya dengan Dato' Rahman melalui syarikat tempat dia berkerja dahulu membawanya kedakapan lelaki itu kini. Dia tahu apa yang dilakukannya itu adalah dosa. Walaupun Dato' Rahman berkali-kali melamarnya untuk dijadikan isteri, dia seringkali menolak. Mujurlah dia tidak pernah mengandung walaupun kerap kali melayani lelaki itu. Ternyata pil yang diambilnya berkesan mencegah kehamilan.

Dato' Rahman telah lama terlena disebelahnya. Saliha masih lagi merenung siling melayan perasaannya. Dia sudah membuat keputusan untuk berhenti kerja. Dia sanggup mengenepikan perasaannya. Bersama Dato' Rahman hidupnya mewah, tidak seperti sewaktu mula-mula dia datang ke bandar itu. Hidupnya dikampung hanyalah ala kadar. Ayahnya yang berkerja sebagai pesawah tidak mampu memberikan mereka adik-beradik kehidupan yang mewah. Kini dia mampu memberikan keluarganya kehidupan yang mewah dengan bantuan Dato' Rahman.

Hasratnya telah diberitahu pada Dato' Rahman dan ternyata lelaki itu senang dengan permintaannya. Kini sudah sebulan dia tidak berkerja, menghabiskan waktunya di rumah dan keluar bersiar bersama rakan-rakannya yang merupakan golongan elite. Saliha bergegas keruang tamu apabila mendengar loceng pintu ditekan berulang kali.

"Sapa pulak yang datang pagi-pagi ni, orang nak mandi pun tak senang." Saliha mengomel apabila keseronokannya berendam diganggu dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang. Pakaian mandi disarung sambil kakinya bergerak pantas untuk membuka pintu. Saliha terkejut apabila matanya menangkap kelibat Lokman. Pintu yang terbuka luas ditutup oleh Lokman. Senyuman terukir dibibirnya.

"Awak nampak cantik." Saliha tersedar bahawa dia hanya memakai pakaian mandinya sewaktu membuka pintu. Sangkanya rakan-rakannya datang mengajaknya keluar. Dia hairan dari mana Lokman mengetahui alamat rumahnya.

"Macam mana awak boleh sampai ke sini?" Dia memandang Lokman penuh tanda tanya.

"Dari hati." Nada suara Lokman sungguh romantis pada pendengaran Saliha. Tangan Lokman yang mula menjalar ke pinggangnya dibiarkan saja.

"Saya rindukan awak, kenapa berhenti kerja tak bagitau saya?" Saliha hanya diam tidak menjawab. Dia juga rindukan Lokman. Dibiarkan dirinya hanyut dengan buaian kata dan sentuhan dari Lokman. Lokman menjadi berani apabila Saliha tidak menepis tangannya mahupun bersuara. Akhirnya mereka hanyut dalam dosa. Dato' Rahman yang menyaksikan perbuatan Saliha dan Lokman menjadi berang.

"Sally!" Dato' Rahman bertempik nyaring mengejutkan Saliha dan Lokman. Muka Saliha pucat ketakutan melihatkan wajah Dato' Rahman yang memerah menahan marah. Lokman memandang Dato' Rahman bersahaja.

"Kau tak layak untuk Saliha, aku lebih layak. Dia tak pernah cintakan kau, tahu?" Lokman melontarkan kata-kata yang menambahkan kesakitan di hati Dato' Rahman. Dato' Rahman mengeluarkan sepucuk revolver dari laci. Revolver diacu ke arah Lokman.

"Biadap kau! Sudahlah kau tidur dengan perempuan aku, berani pula kau nak mempersoalkan perasaannya pada aku! Aku bunuh kau!" Serentak itu dua das tembakan dilepaskan dari revolver itu. Tetapi malangnya peluru itu tidak mengenai Lokman kerana Saliha terlebih dulu menghalang. Darah merah pekat mula membasahi sofa. Dato' Rahman mencampakkan revolver ditangannya dan berlari mendapatkan Saliha yang sudah terbaring kaku.

"Sally! Sally! Man mintak maaf. Sally bangunlah! Man tak nak bunuh Sally, Man nak bunuh budak biadap tu, Sally!" Dato' Rahman meraung-raung bagai orang hilang akal memangku Saliha yang berlumuran darah. Lokman hilang arah melihat Saliha yang sebentar tadi gembira bersamanya sudah kaku tidak lagi bernyawa. Revolver dilantai dicapainya.

"Kau bunuh Saliha. Aku bunuh kau!" Lokman menempik kearah Dato' Rahman. Tembakan dilepaskan dan sebentar kemudian Dato' Rahman telah menjadi mayat. Mayat Dato' Rahman dan Saliha diasingkannya. Dia mendakap mayat Saliha dan diciumnya. Air mata lelaki yang menitis tidak sedikit diendahkannya. Dia sasau kehilangan Saliha. Tidak pernah dia menduga begini akhir cintanya. Dia kemudian membaringkan diri disebelah mayat Saliha.

Kejadian itu hanya disedari orang ramai apabila salah seorang rakan Saliha datang untuk mengajak Saliha keluar keesokan harinya. Setelah disiasat oleh pihak polis, Lokman disahkan menghidap sakit jiwa. Disebabkan itulah dia berada di hospital mental sekarang. Lokman gila setelah melihat orang yang dicintainya dibunuh di depan mata. Kini Lokman masih lagi tersenyum di pintu wad jiwa yang menjadi kediamannya sejak seminggu lalu. Dia nampak Saliha melambai dan tersenyum kepadanya.

1 comments:

keSENGALan teserlah.. said...

walaaahh..
agak menakutkan seyhh..
eeeii..
taksub pd cinta btol..
huhu..